Pakai pelitup muka

BAKAL Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, menggesa rakyat negara itu supaya memakai pelitup muka untuk membantu melawan penularan jangkitan Covid-19.

Beliau menegaskan gesaannya itu bukan satu ‘kenyataan politik’ tetapi langkah penting dalam mencegah jangkitan virus yang membawa maut itu.

Biden sebelum ini telah menyenaraikan barisan saintis yang bakal menerajui tindak balas negara itu terhadap pandemik Covid-19 di bawah pentadbirannya nanti.

“Saya mohon kepada anda supaya memakai pelitup…Lakukannya untuk diri anda. Lakukannya untuk jiran anda. Memakai pelitup bukan satu kenyataan politik, namun ia adalah cara yang baik untuk mula menyatupadukan negara ini,” katanya.

Biden berkata demikian di Wilmington selepas beliau dan bakal Naib Presiden Kamala Harris, mengadakan taklimat maya bersama Lembaga Penasihat Covid-19 Peralihan yang baharu.

Biden, 77, juga menghantar pesanan itu melalui Facebooknya.

Beliau berkata walaupun ada berita baik tentang ujian vaksin Covid-19 yang berjaya “satu cara paling berkesan kita dapat membendung penularan Covid-19 ialah dengan memakai pelitup muka.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump sering mengelakkan amalan itu, malah mengadakan perhimpunan terbuka dengan ribuan penyokong berkumpul dan kebanyakan mereka tidak memakai pelitup muka.

Saintis di bawah pentadbiran Trump juga memberi amaran bahawa rakyat Amerika mesti terus mengamalkan pemakaian pelitup muka berikutan penularan COVID-19 dijangka kian meningkat pada musim sejuk.

“Kita masih berdepan musim sejuk yang amat gelap. Saya akan berusaha habis-habisan untuk menangani pandemik ini apabila kami mengangkat sumpah pada 20 Januari nanti,” kata Biden.

Related posts

Leave a Comment