Semua sekolah, kolej ditutup

PUTRAJAYA 8 Nov. – Semua sekolah dan kolej vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan ditutup sehingga akhir persekolahan bermula 9 November ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, arahan itu turut terpakai kepada negeri-negeri yang tidak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB, iaitu Sarawak, Kelantan, Pahang, dan Perlis.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, penutupan itu akan berterusan sehingga hari akhir persekolahan mengikut Takwim 2020, iaitu 17 Disember bagi negeri kumpulan A, dan 18 Disember bagi negeri kumpulan B.

Sepanjang tempoh tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah dan sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing.

Bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.

Walau bagaimanapun, jelasnya lagi, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.

“Sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya lagi.

Radzi menjelaskan, tarikh pembukaan semula sekolah masih mengikut Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, iaitu pada 20 Januari, 2021.

Beliau berkata, murid sekolah rendah, pelajar Tingkatan 1, 4, 5, dan 6, termasuk Kolej Vokasional akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut, manakala bagi Tingkatan 2, dan 3, pula hanya dibenarkan menjalani sesi home-based learning, sehingga 8 Mac, 2021.

Peperiksaan SPM, SVM dan STAM dipinda ke 22 Februari 2021, sementara STPM dianjak ke 8 Mac 2021.

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!