KUALA LUMPUR 8 Nov. – Sejumlah 519 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 511 individu dikompaun, empat direman dan empat lagi dijamin.
Antara kesalahan termasuk gagal mematuhi penjarakan fizikal (206), tidak memakai pelitup muka (126), gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (67), premis beroperasi lebih masa (23), aktiviti pusat hiburan (9), dan lain-lain (88).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, enam pendatang asing tanpa izin turut ditahan menerusi Operasi Benteng, selain merampas tiga buah kenderaan darat.
Katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 53,389 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Ismail turut memaklumkan seramai 62,490 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam dan telah ditempatkan pusat kuarantin yang diwartakan.