PM harap Bajet 2020 disokong

PUTRAJAYA 4 Nov – Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berharap semua Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang akan menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini demi kepentingan rakyat dan kebaikan negara.

Beliau percaya semua ahli politik komited dan akan bekerjasama untuk kebaikan negara seperti pada sesi Parlimen lepas di mana tidak ada  Ahli Parlimen yang menentang Akta Kumpulan Wang Covid-19.

“Melihat kepada kepentingan Belanjawan 2021 dalam meneruskan usaha menangani wabak Covid-19, melindungi kelangsungan hidup golongan mudah terjejas dan memacu ekonomi, saya berharap semua Ahli Parlimen daripada semua latar belakang politik akan menyokong Belanjawan 2021,” katanya.

Bercakap dalam satu sidang media mengenai Belanjawan 2021, Muhyiddin berkata semua pihak perlu menumpukan usaha bagi membantu rakyat yang terkesan teruk susulan Covid-19 ketika negara berhadapan dengan situasi sukar dan menyulitkan.

“Isu di hadapan kita bukan isu kerajaan semata-mata tapi isu negara. Kalau kita sayangkan negara kita… kita nak selamatkan negara kita dengan apa cara pun,” kata beliau. 

Perdana menteri berkata kerajaan sememangnya mempunyai tanggungjawab dan bebanan utama dalam perkara itu.

“Boleh ringankan bebanan itu jika semua pihak ketepikan fahaman politik dan membantu kerajaan,” katanya.

“Jemaah menteri boleh laksanakan dan pegawai kerajaan yang diamanahkan pun boleh melaksanakannya, namun kalau pihak lain dapat membantu lagi dalam apa jua sekalipun, ia merupakan satu pengorbanan yang amat kita hargai,” katanya.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara input daripada pembangkang diambil kira dalam pengubalan belanjawan negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan  2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Related posts

Leave a Comment