Keperluan teliti semula PKPP

PUTRAJAYA 4 Nov. – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata,  ada keperluan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diteliti semula bagi kawasan-kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak COVID-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak.

Katanya, walaupun PKPP akan berakhir Disember ini tetapi situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya berpandangan ada keperluan untuk PKPP ini diteliti semula bagi kawasan-kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak Covid-19“ katanya melalui laman Facebooknya malam tadi

Beliau merujuk perkara itu pagi semalam semasa mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN)  harian mengenai Covid-19 secara sidang video bagi membincangkan situasi semasa pandemik dan langkah-langkah yang perlu diambil.

Muhyiddin melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes-kes positif COVID-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi  dan intervensi telah dipertingkatkan.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan hujung tahun ini dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi Covid-19 yang masih belum reda.

Mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli  Mohamad Al-Bakri menjelaskan ketetapan telah dibuat dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan.

Dr. Zulkifli juga menjelaskan walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini.

Related posts

Leave a Comment