AS pilih Trump atau Biden?

SAMA-SAMA yakin ke White House. Itu adat berlawan, tiada siapa yang mahu mengaku kalah sebelum perjuangan ditamatkan di ‘gelanggang’.

Calon Republikan, Donald Trump dan calon Demokrat Joe Biden sudah menamatkan pusingan akhir kempen malam tadi.

Dan kini nasib mereka di tangan lebih 96 juta rakyat AS yang layak mengundi..

Untuk menang, Trump atau Biden perlu meraih sekurang-kurangnya 270 undi elektoral.

Biden berikrar akan melaksanakan penyatuan nasional sekiranya berjaya ke White House. Tiada lagi rakyat yang dilabel berdasarkan parti yang disokong, sebaliknya semua akan dikenali sebagai rakyat Amerika.

“Ini janji saya. Walaupun saya bertanding sebagai calon Demokrat, jika saya dipilih, saya akan menjadi Presiden AS. Tiada negeri merah atau biru, hanya Amerika Syarikat,” katanya.

Kempen pusingan akhir Biden tertumpu di negeri yang dianggap kritikal, iaitu Pennsylvania. Demokrat dijangka menang selesa di kubu kuat mereka, Philadelphia.

Trump pula optimis keputusan pilihan raya akan menyebelahinya. Keyakinan itu disuarakan selepas menamatkan kempennya.

“Saya langsung tidak memikirkan mengenai ucapan konsesi atau ucapan penerimaan. Harapnya kita hanya melakukan salah satu darinya. Menang adalah mudah, kalah sebaliknya, bagi saya.

“Tetapi apabila anda melihat rapat umum, seperti juga sejarah negara ini dan mungkin sejarah dunia, ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Mengikut sistem pilihan raya AS, jumlah undi paling banyak atau undi popular tidak menjamin seseorang calon memenangi jawatan presiden sebaliknya ditentukan oleh seberapa banyak undi elektoral yang akan dimenanginya.

Contohnya pada tahun 2016, Trump memenangi jawatan Presiden kerana mempunyai angka majoriti undi elektoral walaupun Hillary Clinton memenangi undi popular hampir tiga juta.

Sebanyak 538 diperuntukkan untuk undi elektoral yang mewakili individu yang akan dipilih untuk menjadi anggota electoral college atau lembaga pemilih.

Kebiasaannya, mereka diberi kepercayaan untuk mengundi calon Presiden AS yang memenangi undi paling banyak di sesebuah negeri.

Apabila pengundi membuang undi untuk pemilihan presiden ini, mereka sebenarnya akan memilih satu pemilih elektoral dari negeri mereka.

Pemilih elektoral ini kemudian akan memberikan undi untuk calon presiden yang paling banyak memenangi undi di negeri tersebut.

Inilah yang dinamakan undi elektoral

Bilangan penduduk di sesebuah negeri di AS akan menentukan berapa bilangan undi elektoral yang diperlukan dalam lembaga pemilihan itu.

Seperti disebut di atas, seseorang calon memerlukan 270 undi elektoral untuk memenangi jawatan presiden. Pada kebiasaannya, keputusan undi elektoral itu boleh diketahui secara tidak rasmi selepas undi popular sesebuah negeri diketahui.

Pada Pilihan Raya Presiden AS 2016, bekas setiausaha negara Hillary Clinton yang mewakili parti Demokrat memenangi undi popular menewaskan Trump.

Bagaimanapun, Trump memenangi undi elektoral iaitu sebanyak 304 undi berbanding Clinton yang memperoleh sebanyak 227 undi elektoral.

Ia adalah disebabkan Trump memenangi undi terbanyak di kubu kuat parti Demokrat iaitu Pennsylvania, Michigan dan Wisconsin sekali gus beliau memperoleh undi elektoral di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Related posts

Leave a Comment