Calon TPM belum terjawab

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Tiada pengumuman oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhubung siapa calon parti itu untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti yang heboh diperkatakan menjelang Mesyuarat MT malam tadi.

Sebaliknya kenyataan UMNO awal pagi ini antara lain hanya menyentuh tentang sokongan kepada kerajaan sekarang, serta mengembalikan mandat rakyat melalui pilihan raya umum (PRU) selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal.

Sebelum ini, ada laporan mengatakan mesyuarat khas MT UMNO di Menara Dato Onn malam tadi ini, dijadual akan membincangkan secara terperinci mengenai calon yang paling sesuai untuk dicadangkan menjadi TPM.

Tiga nama jadi sebutan iaitu Naib Presiden, Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Timbalan Presiden Mohamad Hasan, bekas Naib Presiden Hishammuddin Tun Hussein, dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Isu ini menarik perhatian sehingga timbul pelbagai ucapan tahniah kepada mereka yang disebut-sebut malahan jadi gurauan apabila nama ayahanda Rani Kulup pun tersenarai.

Kemungkinan isu itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat empat jam itu tetapi tidak didedahkan kepada umum sehingga dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan malam ini, Ahmad Zahid berkata, mandat rakyat perlu dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil melalui PRU yang diadakan

selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

UMNO juga mengulangi pendirian bahawa parti Melayu itu dengan jelas menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, pendirian tersebut termasuk memastikan negara tidak diisytiharkan darurat sebagaimana yang dicadangkan oleh kerajaan.

“UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak Covid-19.

“Selain itu, untuk menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik,” katanya lagi.

Katanya, semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO akan terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata Mesyuarat MT turut memperhalusi cadangan termasuk berhubung isu pelanjutan tempoh moratorium.

Selain itu bantuan kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan belia yang menganggur, bayaran khas kepada petugas barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

UMNO juga akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat kepada rakyat dapat diluluskan.

Related posts

Leave a Comment