Indahnya akhlak Rasulullah

HARI ini, Jumaat yang ketiga tidak dapat solat bersama jemaah Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Di Selangor, bagi zon kuning dan merah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan solat Jumaat dibenarkan tetapi hanya melibatkan enam orang jemaah.

Di Selangor, ketika ini tujuh daerah di zon merah dan tiga lagi di zon kuning. Tiada zon hijau. Maka pilihan yang ada solatlah di rumah. Solat zuhur.

Namun masih boleh menghayati khutbah Jumaat yang disediakan JAIS. Tajuk khutbah hari ini, INDAHNYA AKHLAKMU YA RASULULLAH.

Keindahan akhlak Rasulullah SAW menggambarkan kecantikan Islam. Keindahan akhlak ini berjaya menarik minat bukan Islam mendekati dan menganut ajaran Islam. Antara keindahan dan ketinggian akhlak Rasulullah SAW yang dapat kita contohi ialah ketika Nabi SAW menghalang para sahabat yang ingin mengambil tindakan terhadap seorang Arab Badwi yang membuang air kecil dalam Masjid Nabawi.

Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Biarkanlah dia dan kamu curahkanlah sebekas air pada tempat kencingnya. Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan dan bukan untuk menyusahkan.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam satu hadis lain, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ketika aku mendirikan solat aku ingin memanjangkannya, tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi lalu aku ringkaskan solat kerana aku bimbang menyusahkan ibunya”. (Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW tidak pernah berlaku kasar kepada sesiapapun, walaupun terhadap ahli keluarganya sendiri. Baginda SAW memperlakukan dengan penuh kebaikan dan penghormatan terhadap para isterinya dan juga anak-cucunya.

Saidatina Aisyah RadiAllahu Anha menceritakan, Baginda SAW biasa membaiki terompahnya, menjahit bajunya, dan melaksanakan pekerjaan dengan tangannya sendiri. Baginda SAW mencuci pakaiannya, memerah air susu biri-birinya, dan menyelesaikan urusannya sendiri.

Rasulullah SAW juga bersikap lembut dan menzahirkan rasa cinta kepada anak-cucunya.

Baginda SAW juga seorang yang tawaduk atau merendah diri apabila bergaul dan bercampur dengan masyarakat sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RadiAllahu Anhu bahawa beliau berkata: “Sesungguhnya seorang hamba memegang tangan Nabi SAW dan membawa Baginda berjalan-jalan mengikut kehendaknya”. (Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW boleh merendahkan diri walaupun bergaul dengan hamba, sanggup meluangkan masa dan menunaikan hajat mereka. Akhlak ini amat wajar dicontohi. Allah SWT akan mengangkat darjat orang yang tawaduk dan merendah diri.

Jelaslah, Rasulullah SAW seorang pemimpin agung umat Islam yang tiada tolok bandingnya. Baginda memiliki ciri-ciri kepemimpinan dalam semua aspek yang diperlukan, ditambah dengan keperibadiannya yang dihiasi akhlak mulia dan terpuji.

Sejarah kepemimpinan Rasulullah SAW jelas menjadi bukti bahawa baginda bukanlah seorang yang bersifat agresif atau bertindak secara melulu apabila dihina atau berdepan kesukaran. Sebaliknya, baginda sentiasa mengambil pendekatan sabar dan tenang, malah tidak pernah berdendam kepada musuh-musuhnya.

Dalam tafsirnya Ibnu Kathir menyebut “Allah tidak melarang kalian berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memerangi kalian seperti berbuat baik kepada wanita dan orang yang lemah antara mereka. Nabi Muhammad SAW juga melarang sama sekali bertindak zalim terhadap golongan kafir mu’ahad dalam kalangan ahli zimmah dan lainnya.”

Sesungguhnya tiada sesiapa dapat menyangkal keindahan akhlak Rasulullah SAW. Justeru, umat Islam perlu mempamerkan akhlak mulia sebagai gambaran keindahan Islam serta mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.

Related posts

Leave a Comment