India catat kematian tinggi

NEW DELHI: Angka kematian Covid-19 di India mencatat paras rekod dengan 3,689 kes semalam (2 Mei), iaitu kenaikan paling tinggi dalam sehari sejak pandemik bermula, menjadikan keseluruhan angka kematian di negara itu lebih 215,000.

Pihak berkuasa melaporkan 392,488 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan keseluruhan kes jangkitan Covid-19 kepada 19.56 juta.

Jumlah korban akibat virus itu pula 215,524 orang.

Hospital, rumah mayat dan tempat pembakaran mayat bergelut dengan begitu banyak kes ketika negara itu melaporkan lebih 300,000 kes baharu sehari sejak lebih 10 hari berturut-turut.

Hampir 10 wilayah India dan wilayah kesatuan sudah mengenakan sekatan, meskipun pemerintah persekutuan terus keberatan untuk melaksanakan perintah berkurung di merata negara.

Wilayah timur Odisha menjadi yang terbaru mengumumkan perintah berkurung dua minggu , menyertai Delhi, Maharashtra, Karnataka dan Bengal Barat.

Wilayah-wilayah lain, termasuk Uttar Pradesh, Telangana, Assam, Andhra Pradesh dan Rajasthan, sudah melaksanakan perintah berkurung sebelah malam atau pada hujung minggu.

Bulan lalu, Perdana Menteri Narendra Modi berkata semua usaha perlu dijalankan untuk mengelak dilaksanakan perintah berkurung.

Pemerintah persekutuan bimbang satu lagi perintah berkurung akan menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi. Perintah berkurung yang dilaksanakan pada tahun lalu selepas gelombang pertama Covid-19 menyebabkan kehilangan pekerjaan sedang ekonomi menguncup pada paras rekod 24 peratus dalam pada April hingga Jun 2020, berbanding tempoh sama setahun sebelum ini.

Pemerintah Modi dikritik kerana membiarkan jutaan orang yang rata-rata tidak memakai pelitup menghadiri pesta-pesta keagamaan dan rapat-rapat politik di lima wilayah pada bulan Mac dan April.

Kes harian di wilayah-wilayah tersebut melonjak sejak itu.

Semalam (1 Mei) Reuters melaporkan bahawa pemerintah persekutuan dituduh gagal memberi tindak balas kepada amaran yang dikeluarkan pada awal Mac daripada para penasihat saintifiknya bahawa varian baharu yang lebih mudah berjangkit sedang mencengkam negara itu. 

Related posts

Leave a Comment