Covid-19 Singapura terkawal

SINGAPURA merekodkan enam kes baharu Covid-19 setakat  12 tengah hari Selasa, 20 Oktober menjadikan jumlah terkumpul 57,921 kes.

Antara kes baharu yang dilaporkan termasuk dua jangkitan tempatan, dengan kedua-dua kes menetap di asrama.

Terdapat empat kes import dan kesemuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sejurus selepas mereka tiba di Singapura.

Mereka adalah rakyat Singapura yang pulang dari Indonesia, Penduduk Tetap (PR) yang pulang dari India,  warga Mesir, yang tiba dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dan seorang lagi tiba dari Jerman.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes-kes baharu dalam masyarakat sudah meningkat dari dua kes pada minggu sebelumnya kepada empat kes minggu lalu.

Secara keseluruhannya, 57,819 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan manakala

38 masih dirawat di hospital. Sebahagian besar daripada mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih, dan tiada yang dirawat dalam unit jagaan rapi.

Sementara itu, Singapura mungkin akan memasuki Fasa 3 sebelum akhir tahun ini jika keadaan Covid-19 terkawal dan tiada kemunculan kelompok baharu .

Menurut Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19, penyambungan semula aktiviti akan dilengkapi dengan langkah-langkah keselamatan seperti Ujian Pantas Antigen yang akan dimulakan tidak lama lagi.

“Kami sedang meninjau penggunaan ‘antigen rapid tests’ (ART) bagi ujian pra-acara, yang boleh memberikan keputusan cukup tepat, dan boleh diuruskan sejurus sebelum acara bermula,” kata pengerusi MTF Gan Kim Yong di sidang media maya.

Gan yang juga Menteri Kesihatan Singapura berkata ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) masih merupakan standard tinggi yang memberikan keputusan amat tepat, namun ia agak mengambil masa, yang memerlukan ujian diambil sehari atau dua hari lebih awal daripada acara.

Beberapa acara yang akan diuji, termasuk contohnya acara berkaitan perniagaan atau majlis perkahwinan.

Selain langkah pengurusan keselamatan dan peningkatan pelaksanaan ujian, Singapura akan terus mengukuhkan rejim pengesanan kontak, menggunakan dua agenda pengesanan kontak digital utama – SafeEntry dan TraceTogether.

“Fasa tiga akan diteruskan sehingga penularan virus itu dikawal dengan baik, bukan sahaja di Singapura, tapi juga di seluruh dunia, oleh itu ia akan menjadi pengurusan jangka panjang,” kata Gan.

Beliau berkata keadaan Covid-19 di Singapura ketika ini boleh dikatakan terkawal.

Related posts

Leave a Comment