Arahan kerja dari rumah

MULAI 22 Oktober 2020, pekerja sektor awam dan swasta di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak lagi dibenarkan ke pejabat sebaliknya bekerja dari rumah.

Sidang khas Majlis Kerselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, hari ini membuat keputusan itu selepas mendengar pembentangan KKM berkenaan situasi semasa Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu bagi membendung penularan wabak Covid-19, dengan mengurangkan jumlah orang ramai yang bekerja di pejabat dan kilang.

“Dulu saya katakan kita menggalakkan, sekarang kita bukan menggalakkan lagi, kita mengarahkan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan arahan kepada sektor industri di bawah MITI manakala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan arahan kepada perkhidmatan awam. Jadi ini arahan bukan digalakkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata tindakan itu akan mengurangkan satu juta pekerja dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah – 800,000 di sektor industri, dan 200,000 di sektor awam – daripada hadir ke pejabat atau kilang masing-masing.

Pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Majikan diarah mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh itu.

Related posts

Leave a Comment