Sultan bimbang kemelut politik

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan kebimbangan Baginda berhubung kemelut politik Negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat di Negara ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata Sultan Sharafuddin dukacita kerana kebanyakan ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan masalah dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat Covid-19 dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi rakyat yang amat terjejas.

Ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab di dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. Kesusahan dan penderitaan rakyat perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif

Sultan Selangor mengambil maklum dan menyokong penuh kenyataan media yang dikeluarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 16 Oktober 2020 yang lalu.

Rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah di dalam merebut kuasa pemerintahan Negara.

Justeru, Baginda mahukan semua pihak terutama ahli politik di Negara ini, untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing dan sentiasa fokus di dalam membantu rakyat dan Negara menangani masalah penyebaran wabak Covid-19 dan membina semula ekonomi Negara yang teruk terjejas.

Related posts

Leave a Comment