Kluster tempat kerja penyumbang kes

PUTRAJAYA 27 Mei  – Kluster tempat kerja menjadi penyumbang tertinggi kes jangkitan Covid-19  selain kluster perayaan dan rentas negeri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Melalui akaun Facebooknya, beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 233 kluster tempat kerja yang masih aktif direkodkan melibatkan 16,785 kes aktif.

Ini menurutnya menyumbang kepada 39 peratus daripada keseluruhan 593 kluster yang masih aktif dalam negara.

Beliau memaklumkan terdapat pengurangan bilangan subkluster dilaporkan setiap minggu berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 pada 12 Mei lepas dengan beberapa sekatan dan penutupan sektor dilaksanakan, termasuk arahan bekerja dari rumah yang kemudiannya diperketatkan sejak Selasa lepas.

Turut berkurangan, ialah kluster pentadbiran awam, pembinaan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun  bilangan subkluster yang dilaporkan secara mingguan misalnya bagi subkluster pembuatan, menunjukkan peningkatan iaitu daripada 14 kluster seminggu sebelum PKP 3.0 kepada antara 21 hingga 25 kluster, selepas PKP 3.0.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyeru semua pekerja untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja untuk mengurangkan risiko jangkitan.

“Majikan juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan segala SOP dipatuhi di tempat kerja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment