Empat kluster baharu

KEMENTERIAN Kesihatan mengenal pasti empat kluster baharu iaitu Kluster Bah Layangan, Kluster Alma, Kluster Auto dan Kluster Penjara Kepayan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 77 kes positif direkodkan dalam empat kluster baharu itu pada Ahad, 18 Oktober 2020.

Kluster Penjara Kepayan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 48 kes positif.

KLUSTER PENJARA KEPAYAN

Kluster ini dikenal pasti di Kota Kinabalu. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-19,628) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke hospital di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 14 Oktober.

Saringan kontak rapat mengenal pasti 48 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 18 Oktober, sejumlah 170 individu disaring, dengan hasilnya 49 kes dikesan positif Covid-19 dan 121 individu negatif.

KLUSTER BAH LAYANGAN

Melibatkan kes di Labuan dan Rembau, Negeri Sembilan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-15,654) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Labuan. Kes juga mempunyai sejarah perjalanan ke daerah yang berisiko tinggi. Saringan kontak rapat mengenal pasti 12 lagi kes positif Covid-19.Sehingga 18 Oktober, sejumlah 142 individu disaring, dengan hasilnya 13 kes dikesan positif Covid-19, 67 individu negatif dan 62 individu masih menunggu keputusan.

KLUSTER ALMA

Melibatkan kes di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-18,066) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang. Sehingga 18 Oktober sejumlah 183 individu disaring, dengan hasilnya saringan kontak rapat mengenal pasti enam lagi kes positif Covid-19, tujuh kes dikesan positif Covid-19, 43 individu negatif dan 133 individu masih menunggu keputusan.

KLUSTER AUTO

Melibatkan kes di Petaling, Kuala Langat dan Klang di Selangor serta Seremban, Negeri Sembilan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-19,354) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19. Sehingga 18 Oktober, sebanyak sembilan kes dikesan positif. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Related posts

Leave a Comment