Virus hidup 9 jam di kulit

KETUA Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan virus Covid-19 mampu hidup sehingga lebih sembilan jam di permukaan kulit manusia yang juga boleh meningkatkan risiko dijangkiti virus tersebut.

Jelasnya, berdasarkan kajian yang dijalankan sebelum ini, keadaan itu juga bergantung kepada jenis permukaan termasuk keadaan suhu yang sejuk.

“Ada kajian yang melihat kepada kebolehjangkitan selepas sembilan jam bergantung kepada permukaan kulit contohnya jika permukaan itu sejuk.

“Malah jika ia berlendir, virus yang kekal pada permukaan itu berkemungkinan boleh berjangkit,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kajian yang dijalankan terhadap jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19 juga mendapati swab yang diambil pada permukaan kulit adalah positif.

Kajian terhadap jenazah yang dibawa ke tanah perkuburan di mana dilakukan swab di kulit mendapati positif.

“Jadi bukan hanya cecair dalam badan sahaja positif malah organ lain juga positif termasuk permukaan kulit.

“Oleh kerana itu, kita tidak menggunakan kaedah memandikan jenazah tetapi dengan cara tayamum dan masukkan jenazah ke dalam plastik tanpa membukanya semula bagi mencegah penularan virus itu kepada petugas kesihatan,” ujarnya.

Dr Noor Hisham menyarankan agar orang ramai terus mencuci tangan dan membersihkan mana-mana permukaan dengan menggunakan sabun sebagai langkah mencegah penularan virus itu.

Terdahulu, portal berita AFP melaporkan saintis di Jepun mendapati virus Covid-19 mampu hidup sehingga sembilan jam di permukaan kulit manusia, sekali gus meningkatkan risiko dijangkiti virus berkenaan.

Related posts

Leave a Comment