Baharu 871, kumulatif 20,498

PUTRAJAYA : Jumlah kes baharu harian Covid-19 mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes hari ini, 18 Oktober, naik dua kes berbanding 869 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 20,498 sementara

kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut pada 7,049 kes.

Beliau berkata tujuh kematian dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan kes kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu 187 kes.

Bagaimanapun, kes pulih harian hari ini tertinggi iaitu 701 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 13,262 kes atau 64.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada 871 kes baharu yang dilaporkan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara termasuk tiga warganegara, yang semuanya di Selangor iaitu masing-masing dua kes dari India dan Nepal serta satu dari Singapura.

Daripada 866 kes penularan di dalam negara, dua kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept 2020 sebanyak 443 kes.

Sehingga kini, terdapat 86 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga mengenal pasti empat kluster baharu, menjadikan kluster aktif di Malaysia setakat ini sebanyak 85.

Related posts

Leave a Comment