Tambahan tenaga bantu KKM

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengguna pakai pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’ bagi membendung penularan Covid-19 yang menunjukkan peningkatan khususnya di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tambahan tenaga kerja diperlukan ketika ini bagi menjalankan aktiviti kesihatan di 19 pusat kuarantin berisiko rendah dan aktiviti kesihatan awam di negeri berkenaan.

Katanya,  pendekatan ‘whole-of-government’, yang merujuk kepada tenaga kerja anggota dalaman KKM, dan ‘whole-of-society’ melibatkan sukarelawan adalah sangat penting bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

“Kita sedang berada dalam krisis kes baharu yang meningkat setiap hari contohnya di Sabah. Dalam keadaan biasa, kita sudah cukup sumber tenaga manusia untuk memberikan perkhidmatan kesihatan.

“Tetapi sekarang kita dalam krisis. Inilah masanya perlu menambah sumber tenaga manusia,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook KKM.

Beliau berkata pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan sukarelawan badan bukan kerajaan atau menggunakan ‘whole-of-non governmental organisation’ dalam membantu pasukan perubatan KKM.

Katanya, sehingga kini jumlah keseluruhan tenaga kerja warga KKM pelbagai kategori yang digerakkan ke Sabah adalah seramai 767 anggota.

“Bagi warga KKM dalaman di Sabah, seramai 492 anggota perubatan dan 52 anggota kesihatan awam  digerakkan ke negeri itu sejak bulan lepas. Sementara, 175 anggota perubatan dan 48 anggota kesihatan awam dari negeri lain juga terlibat,” katanya.

Mengenai Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO), Dr Noor Hisham mengingatkan kontak rapat untuk menjalani tempoh 14 hari kuarantin walaupun keputusan saringan pertama Covid-19 adalah negatif.

“Kita nasihatkan mereka memantau kesihatan menggunakan aplikasi MySejahtera dalam masa 14 hari. Ini penting kerana apa yang kita dapati, 75 peratus kes positif pada hari pertama kuarantin manakala 25 peratus lagi positif pada hari ke-13,” katanya.

Related posts

Leave a Comment