MULAI 17 Oktober, Wilayah Persekutuan Labuan yang telah merekodkan 92 kes setakat ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 30 Oktober ini.
Serentak dengan itu, penduduk pulau itu diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Labuan Nurzaliza Kartika Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu, perhimpunan ramai termasuk seminar, bengkel, kursus latihan, persidangan, taklimat dan pameran adalah dilarang.
Larangan itu juga termasuk membabitkan aktiviti yang berkaitan dengan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) manakala program latihan dalaman yang sedang berlangsung masih boleh diteruskan tetapi di perkarangan pusat latihan.
Pertemuan secara bersemuka tidak digalakkan sebaliknya diadakan menerusi persidangan video.
Perhimpunan sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis akikah, majlis bacaan tahlil, ulang tahun, perayaan ulang tahun dan perjumpaan juga dilarang.
Selain itu katanya, aktiviti pelancongan ke kawasan dan dari kawasan yang dikenakan PKPB juga dilarang.