660 kes, empat kematian

PUTRAJAYA: Bilangan kes positif Covid-19 terus mencatatkan tiga angka, dengan 660 kes baharu dilaporkan hari ini, 14 Oktober selain turut merekodkan empat kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah masih terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 429 kes atau 65 peratus, manakala Kedah mencatatkan 113 kes (17.1 peratus) dengan 109 kes daripada Kluster Tembok

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 17,540 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 5,768 kes.

Daripada 660 kes baharu yang dilaporkan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua warganegara dan empat bukan warganegara.

Di samping itu, daripada 654 kes penularan dalam negara, 608 kes adalah warganegara Malaysia dan 46 kes adalah bukan warganegara.

Sehingga kini, terdapat 108 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 35 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 233 kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dicatatkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih adalah 11,605 kes (66.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Berhubung empat kes kematian, kesemuanya dilaporkan di Sabah, membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki yang berusia antara 47 hingga 80 tahun.

Dengan pertambahan empat kematian itu, jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 167 kes (1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Related posts

Leave a Comment