Kenapa ‘halang’ usul tidak percaya terhadap PM

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan mengenai gesaannya agar Usul Tidak Percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dikemukakan di Dewan Rakyat.

Perkara itu terkandung menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun pada 25 September lalu.

Tengku Razaleigh berkata pencadang usul tersebut iaitu, Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak membenarkan usul itu dibahaskan sebanyak dua kali dengan cara menyenaraikannya di penghujung senarai perbahasan.

Katanya, dengan cara itu perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan oleh Dewan Rakyat.

Tengku Razaleigh berpendapat Usul Tidak Percaya itu amat penting atas beberapa sebab antaranya kesahihan kerajaan sekarang ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri.

“Sekiranya usul tersebut disokong oleh sebahagian besar (majoriti) Ahli-Ahli Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan DYMM Yang di-Pertuan Agong.

“Saya berpendapat bahawa usul tersebut seharusnya dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera agar kerajaan kepimpinan perdana menteri kini dapat mengesahkan kewajarannya di Dewan Rakyat.

“Saya membuat cadangan ini berpandukan Perkara 62, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Azhar kemudiannya menjawab surat Tengku Razaleigh itu dalam tempoh empat hari yang bertarikh 29 September 2020.

Dalam jawapannya ,Azhar berkata, penolakan itu dibuat di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa urusan Kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan-urusan lain.

“Usul Persendirian termasuk Usul Tidak Percaya terhadap YAB Perdana Menteri dari YB Langkawi dan Usul Percaya terhadap YAB Perdana Menteri dari YB Pasir Puteh, YB Sabak Bernam dan YB Arau telah disenaraikan berdasarkan masa penerimaan usul-usul tersebut.

Usul-usul Persendirian yang diterima terlebih dahulu akan disenaraikan susunan awal di kertas Aturan Mesyuarat.

“Dalam hal ini, Usul-usul persendirian dari YB Tuaran, YB Bukit Bintang, YB Gerik dan YB Arau ketika itu telah diterima lebih awal berbanding usul YB Langkawi, “ jelas Azhar.

Oleh yang demikian tegas Azhar, adalah tidak benar Perdana Menteri tidak membenarkan Usul Tidak Percaya tersebut dibahaskan di Dewan Rakyat.

“ Saya tiada masalah untuk Dewan mempertimbangkan Usul-usul Persendirian jika telah selesai semua urusan kerajaan atau pun terdapat usul oleh seorang Menteri di bawah Peraturan 14(2) untuk mendahulukan Usul-usul Persendirian,” katanya.

Related posts

Leave a Comment