Ku Li tolak Penasihat Petronas

TENGKU Razaleigh Hamzah mengakui ditawarkan jawatan Penasihat Petronas oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tetapi menolak tawaran tersebut atas dasar mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau prihatin terhadap Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berkaitan “hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen sekiranya memegang sesuatu jawatan berpendapatan”

“Bahagian kecil ini bertujuan mencegah ahli-ahli Dewan Rakyat daripada menyokong atau pun mengundi demi menyokong kerajaan bagi maksud ‘penyogokan politik’,” katanya dalam sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat , Azhar Azizan Harun pada 25 September lalu.

Katanya, penyogokan politik menyebabkan demokrasi berperlembagaan kita menghadapi cabaran serius.

“Saya bimbang dan khuatir sama ada demokrasi berperlembagaan kita mengalami penyogokan politik ini dengan cara tersembunyi. Sesungguhnya demokrasi berperlembagaan kita musnah dari dalam oleh ‘musuh dalam selimut’., katanya.

Beliau berkata, penyogokan politik ini amat susah dikesan dan tidak dapat ditakrif secara habis-habisan. Maka itu amatlah penting pemahaman terhadap penyogokan politik ini diteraskan kepada pemahaman bahawa tujuan keperlembagaan menganggap pemegangan “jawatan berpendapatan” sebagai pembatalan keahlian adalah untuk mempertahan dan mendukung Perlembagaan serta integriti Dewan Rakyat.

“Saya menyatakan isu kepercayaan keperlembagaan dan penyogokan politik secara bertulis kerana saya risau sama ada sumpah jawatan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat itu tidak dipeduli. Sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ terikat oleh sumpah jawatan dan berkewajipan mendukung Perlembagaan kita”, tegas beliau.

Surat tersebut merujuk  situasi politik negara, terutamanya apabila Perdana Menteri telah dua kali enggan membenarkan Usul Tidak Percaya untuk dibentang, walaupun ia sebahagian penting daripada amalan demokrasi negara.

Related posts

Leave a Comment