Setahun penutupan Utusan

MENGIMBAS KEMBALI TULISAN 9 Oktober 2019 – HARI TERAKHIR UTUSAN DITERBITKAN

Tragedi Oktober, ‘semalam dan hari ini kita diukir sejarah’

MALAM tadi, seorang rakan mengirimkan sekeping foto menunjukkan beberapa orang petugas di Tingkat 4, Jabatan Pengarang Utusan Malaysia sedang ‘mengemas’. Di sisi meja ada kotak berisi dokumen dan barangan mereka. Sebak, sedih, pilu di tengah malam mengenangkan babak ini serta nasib 800 kakitangan yang masih bersama Utusan. Terkebil-kebil mata sehingga lewat tengah malam memikirkan apa episod seterusnya. Nasib warga kerja Utusan.

Babak sedih ini (mengemas meja dan bilik) mengingatkan kembali tindakan yang sama dilakukan oleh saya dan rakan-rakan lain pada November 2018 bagi mengosongkan pejabat setelah memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat mencari rezeki untuk keluarga. Jasanya teramat besar. Utusan universiti saya. Anak-anak membesar bersama rezeki di Utusan.

Menyelak kembali babak sedih itu, mereka yang berhasrat menyertai VSS perlu memuktamadkan pendirian masing-masing pada 10 Oktober 2018. Akhirnya saya memilih 10.10.2018 untuk memuktamadkan keputusan bagi menyertai lebih 700 pekerja meninggalkan Utusan secara sukarela. Dengan harapan, tindakan itu dapat mengurangkan beban Utusan serta pengurusan baharu dapat melakukan penyusunan semula demi kelangsungan Utusan. Janji asal Utusan tidak dikuburkan! sama seperti janji Datuk Aziz Sheikh Fadzir (ASF) yang menerajui Utusan bahawa beliau ‘tidak datang’ untuk meletakkan batu nisan ke atas Utusan.

Malangnya matlamat untuk melihat pemulihan Utusan tidak kesampaian. Realitinya Utusan Malaysia dan Kosmo! ‘dimatikan’. Permulaan yang nampak baik beransur-ansur tidak sihat. Gaji kakitangan terabai manakala pampasan VSS terus tertunggak. Utusan tenat. Kemuncaknya pada 19 Ogos yang lalu Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Utusan Melayu mengadakan piket dan timbul spekulasi penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! akan dihentikan. New Straits Times tidak mahu ketinggalan untuk mencatatkan sejarah itu di muka hadapannya serta dua muka laporan khas mengenai penutupan akhbar itu. Menurut laporan tidak rasmi ketika itu, tarikh 21 Ogos atau hari Rabu dikatakan hari terakhir penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo!

Bagaimanapun pihak pengurusan menafikan dan mengumumkan Utusan Malaysia serta Kosmo! diterbitkan seperti biasa tetapi dengan kenaikan harga. Malangnya, keadaan itu tidak bertahan lebih lama. Tidak sampai dua bulan. Dan hari ini, juga hari Rabu, timbul semula perkhabaran mengenai penutupan operasinya. Perkhabaran itu sah. Lembaga Pengarah Utusan meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation). Berikutan itu operasi syarikat akan dihentikan berkuatkuasa pada hari ini Rabu, 9 Oktober 2019. Hari ini adalah hari terakhir bekerja dan tarikh akhir perkhidmatan pada 31 Oktober 2019. Difahamkan satu perjumpaan akan diadakan pada 30 Oktober ini

Benarlah hari Rabu adalah hari keluaran terakhir Utusan Malaysia dan Kosmo! seperti yang dihebohkan pada Ogos lalu. Untuk rekod Utusan Malaysia diterbitkan pada 1 September 1967 sementara Kosmo! dilancarkan pada 30 Ogos 2004 dan menemui pembaca pada 31 Ogos 2004. Esok, ‘nafas’ Utusan Malaysia dan Kosmo! terhenti. Siapa sangka episod sedih ini berlaku selepas usianya mencecah 80 tahun.

Esok juga, 10 Oktober genap setahun pekerja memuktamadkan pilihan menyertai VSS dan hari ini berita duka pula menyelubungi rakan-rakan yang masih bersama Utusan. Ini tragedi Oktober. Sesuatu yang sudah dijangka tetapi tidak sepantas ini. Semoga Allah melindungi kita dan nasib pekerja VSS dan yang ditamatkan perkhidmatan terbela.

Doa kita juga agar akhbar Utusan Malaysia & Mingguan Malaysia serta Kosmo! dan Kosmo! Ahad kembali di persada negara suatu masa nanti. Semoga ‘mereka’ kembali kerana keluaran hari ini belum memberi salam terakhir atau salam perpisahan untuk para pembaca setia.

Related posts

Leave a Comment