Jangan kedekut berselawat

KHUTBAH di Selangor hari ini yang bertajuk Galakan dan kelebihan berselawat kepada Nabi SAW menghuraikan kelebihan berselawat.

PERTAMA: IA ADALAH PERINTAH ALLAH SWT.

Firman Allah SWT daripada surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebajikan) kepada Nabi Muhammad SAW. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Oleh kerana itu, berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah salah satu cara kita menurut perintah Allah di samping mengingati segala jasa baginda dalam memperjuangkan Islam serta peribadinya yang unggul.

KEDUA: MENDAPAT BALASAN SELAWAT DARIPADA ALLAH SWT.

Walaupun berselawat nampak mudah, namun fadhilatnya amat besar

bagi mukmin yang melaziminya. Allah mengasihi hamba-Nya yang sentiasa meletakkan Rasulullah SAW di dalam hatinya.

Jika kita berzikir dan berselawat dengan memohon supaya Allah melimpahkan kemuliaan, kehormatan, dan kepujian kepada Nabi Muhammad SAW, Allah pula membalas selawat kita dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada kita.

KETIGA : MENGHINDAR MUSIBAH DAN DIAMPUNKAN DOSA.

Memperbanyakkan berselawat dapat menjamin dan menyelamatkan kita daripada segala perkara yang mendukacitakan dan membimbangkan sama ada  di dunia mahu pun akhirat.

KEEMPAT : DIANGKATKAN DARJAT

Hadis daripada Anas bin Malik RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat (di syurga kelak).”

(Riwayat Al-Nasa’i)

KELIMA; DIBENTANGKAN DI AKHIRAT KEPADA NABI SAW.

Berselawat kepada Baginda juga dituntut terutamanya pada hari Jumaat. Hadis daripada Aus bin Abu Aus RadiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku.”

(Riwayat Abu Daud).

Justeru marilah kita berusaha untuk beramal dengan perkara tersebut, sebagai tanda cinta kasih seorang muslim kepada Baginda SAW. Bagi mereka yang bakhil untuk berselawat, Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib: “Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut namaku mereka tidak berselawat ke atasku”.

(Riwayat Al-Tirmizi.)

Kesimpulannya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa berselawat ke atas Nabi SAW adalah perintah daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa ganjaran yang besar disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang berselawat ke atas Nabi SAW.

3. Umat Islam hendaklah memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW sebagai tanda cinta kepada Nabi SAW sekaligus membalas cinta dan kasih sayang Nabi SAW kepada umatnya.

Related posts

Leave a Comment