PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kluster baharu dikenal pasti pada Selasa, 6 Oktober iaitu Kluster Batu di Taiping, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh kes positif baharu dikesan di Kluster Batu manakala 20 individu disahkan positif daripada Kluster Ramai-Ramai.
Kluster Batu dikenal pasti hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.
Hasil saringan mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober 2020 dan mereka semua dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.
Sehingga 6 Oktober , 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring di mana tujuh dikesan positif, 182 negatif dan 671 individu masih menunggu keputusan.
Kes indeks bagi Kluster Ramai-Ramai pula melibatkan seorang pemandu bas yang mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September 2020.
Menurutnya, kes dikesan positif pada 3 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.
Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.
Sehingga 6 Oktober, 12 tengah hari, sejumlah 166 individu disaring dan keputusannya 20 dikesan positif dan 146 individu masih menunggu keputusan.
Punca jangkitan bagi kes di kedua-dua kluster berkenaan masih dalam siasatan.