Tiada cadangan kenakan PKP

PUTRAJAYA: Ketika jumlah kes jangkitan Covid -19 terus meningkat, kerajaan  tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung di seluruh negara pada waktu ini, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin .

Beliau berkata, sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi, ia akan membawa kesan besar yang dibimbangi akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

Apa yang akan dilakukan kerajaan adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes Covid-19 yang tinggi.

“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas

“Saya percaya kesiasiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan Covid-19 tanpa perlu kita menutup sektor ekonomi yang pernah kita lakukan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.

Perdana Menteri juga mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan mendadak kes Covid-19 di Malaysia.

Menurutnya, PRN itu terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas.

“Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas DUN dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh,” katanya.

Katanya, SPR telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketika kempen pilihan raya, namun ada SOP yang tidak dipatuhi.

“Misalnya penjarakan sosial (fizikal). Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi.

“Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak. Sehinggakan saya terpaksa membuat SOP saya sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebahagian besar kes di Sabah sebelum ini berpunca daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

Apabila ditahan di pusat tahanan, mereka menjangkiti tahanan lain. Virus ini juga telah menjangkiti kakitangan pusat tahanan, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat.

“Begitu juga di Kedah. Virus ini sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain terdapat kluster-kluster baharu dalam komuniti.

“Kerana itu bilangan mereka yang positif Covid-19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu yang lalu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment