KEPALA BATAS : Gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pasar pagi Pekan Penaga tidak dibenarkan beroperasi minggu depan .
Arahan itu dibuat selepas pemeriksaan mendapati penganjur tidak menyediakan jalan keluar dan masuk, gagal mengawal peniaga dan orang awam sehingga menyebabkan tiada penjarakan fizikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya bersama-sama beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, yang melakukan pemeriksaan bermula 9 pagi, mendapati penganjur serta pengunjung mengingkari SOP.
Berikutan itu, polis mengeluarkan dua kompaun terhadap penganjur pasar pagi berkenaan.
“Pasar tersebut diarah tutup pada minggu hadapan dan semua premis tidak dibenarkan beroperasi memandangkan kegagalan penganjur mematuhi SOP dan pihak KKM akan membuat pemantauan serta keputusan sebelum membenarkan pasar tersebut dibuka semula,” katanya.
Pasar pagi itu beroperasi pada setiap Khamis serta Ahad dan menjadi tumpuan ramai, khususnya pada hujung minggu.