Kawalan rentas daerah Sabah

KAWALAN Rentas Daerah di seluruh Sabah akan berkuat kuasa pukul 12:01 tengah malam esok (3 Oktober) hingga 16 Oktober ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, perkhidmatan perlu termasuk keperluan bekalan makanan, perubatan dan keselamatan dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang menjalani atau akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan.

Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuat kuasa seperti biasa.

PKPDB yang melibatkan 962,661 penduduk di empat daerah itu dijadualkan berakhir pada 12 Oktober ini.

Pelaksanaan PKPDB di kawasan itu adalah bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Sebarang sekatan dan maklumat lanjutan katanya,akan dimaklumkan oleh kerajaan Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam COVID-19 Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.

Related posts

Leave a Comment