Ciapan ‘mesra’ KP Kesihatan

PUTRAJAYA : Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan status yang dimuat naik di akaun Twitter mengenai saranan duduk di rumah bukan suatu perkara baharu yang disuarakannya.

Tujuan ciapan berkenaan adalah bagi mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya tinggal di rumah jika tiada urusan penting dalam situasi Covid-19 ketika ini.

Bagaimanapun, katanya jika tetap mahu keluar, mereka diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jadi perkara itu bukan perkara yang baharu iaitu ketika saya Tweet. Dari hari pertama lagi saya Tweet iaitu saya mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia yang tiada urusan penting di luar dinasihatkan duduk rumah.

“Kalau kita nak keluar dari rumah kerana ada urusan penting, patuh SOP. Sebab itulah tujuan utama saya Tweet… bukan perkara baharu. Hanya ingatkan duduk rumah kalau tiada urusan penting. kalau nak keluar kena amalkan konsep 3W,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 pada Khamis, 1 Oktober.

Sebelum ini, satu status Twitter yang dimuat naik Dr Noor Hisham mengundang persoalan kalangan orang ramai yang berteka-teki sama ada PKP akan dilaksanakan semula.

Ciapan itu ialah “How about all stay at Home for awhile again?”, yang kemudian menjadi bualan netizen di media sosial.

Sementara itu, beliau mengingatkan adalah satu kesilapan jika menganggap perang terhadap virus Covid-19 sudah berakhir.

Katanya, keadaan belum kembali normal walaupun negara sudah tidak lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Dr Noor Hisham, ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan akan menyebabkan pertambahan kes baharu dari semasa ke semasa.

Kementerian Kesihatan (KKM) sedia maklum selama sembilan bulan ini ramai dalam kalangan petugas dan rakyat Malaysia mungkin berasa fatigue (penat) mematuhi SOP, tetapi perlu diingatkan virus Covid-19 tidak pernah fatigue.

“Kalau kita leka dan ambil mudah, jangkitan akan berlaku kerana virus tersebut telah berada dalam komuniti kita.

“Nasihat KKM adalah duduk di rumah kalau tidak ada urusan penting di luar. Kalau ada urusan penting di luar rumah, patuh kepada SOP supaya kita dapat elakkan jangkitan COVID-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment