D614G dari Indonesia, Filipina

PUTRAJAYA : Virus Covid-19 Kluster Benteng LD, Sabah yang dikesan mempunyai jenis mutasi D614G didapati datang dari Indonesia dan Filipina, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan kajian makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), meskipun kumpulan mutasi sama (D614G) dikesan bagi beberapa kluster di Kedah, kedua-duanya mempunyai ciri berbeza. 

“Kita telah juga melaksanakan kajian strain virus di Sabah (Kluster Benteng LD) dan strain itu juga D614G (tetapi) datang dari Indonesia dan Filipina. Strain yang kumpulan sama (Kluster PUI Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Sungai, Kedah) tapi ciri-cirinya tidak sama,” katanya.

Oleh itu, katanya, kebolehjangkitan meningkat sikit kalau dibandingkan dengan strain sebelum ini namun apa yang penting adalah mengambil tindakan kesihatan awam.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata terdapat kewujudan mutasi D614G virus Covid-19 yang didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’ dalam Kluster Sivagangga. 

Mengambil contoh nilai kadar kebolehjangkitan (nilai R-naught) yang berjaya diturunkan di Kedah, Dr Noor Hisham berkata langkah pencegahan di peringkat awal penting dalam menangani penyebaran Covid-19 di Sabah. 

Di Kedah, contohnya (nilai R-naught) pada peringkat awal adalah tinggi iaitu melebihi 2.0 tetapi sekarang berjaya turunkan manakala di Sabah, R-naught 1.4, tindakan diambil adalah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah. 

“Selain itu, sekatan jalan raya antara daerah, tindakan kesihatan awam dan mengetatkan kawalan sempadan dilaksanakan. Kita percaya dengan tindakan kita seperti dulu, kita boleh kawal jangkitan di Sabah,” katanya. 

Beliau turut menekankan sama seperti di Selangor, walaupun kes positif dicatatkan tidak tinggi seperti di Sabah, pelaksanaan tindakan kesihatan awam penting memandangkan nilai kebolehjangkitan negeri itu adalah 1.9. 

“Untuk tempoh sembilan bulan kita dah guna pakai tindakan kesihatan awam dan berjaya tamatkan 100 kluster. Kini ada 24 kluster aktif yang kita sedang pantau. Peperangan masih berjalan,” katanya. 

Related posts

Leave a Comment