KUALA LUMPUR 11 Mei – Lima negeri berada di tahap satu iaitu keadaan berjaga-jaga kerana mencapai suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya melebihi tiga hari berturut- turut.
Menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), catatan suhu lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan itu adalah sehingga pukul 4.45 petang tadi.
Di Perak, terdapat lima daerah yang mencatatkan suhu di tahap satu iaitu Hulu Perak, Selama (Matang dan Larut), Batang Padang, Kinta dan Manjung.
Selain itu, di Kedah pula daerah yang mencatatkan suhu melebihi 35 darjah Celcius ialah Padang Terap, Kuala Muda, Baling dan Bandar Baharu, manakala satu daerah masing-masing di Negeri Sembilan dan Kelantan iaitu Jempol dan Pasir Mas.
Semalam, daerah Mukah di Sarawak mencatatkan suhu melebihi 35 darjah Celcius, bagaimanapun daerah berkenaan hari ini kembali mencatatkan suhu normal.
Bagi negeri lain, sehingga petang ini semuanya mencatatkan suhu di bawah 35 darjah Celcius.
