Politik kompromi bukan buli

“KAMI telah bersetuju sebulat suara bahawa mereka telah menamakan saya sebagai Ketua Menteri (KM) Sabah,” begitulah pengumuman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Hajiji Noor hari ini sekaligus menamatkan teka teki siapakah Ketua Menteri (KM) selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi pilihan raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Hajiji, Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah,  akan mengangkat sumpah jawatan pada pukul 10.30 pagi esok, 29 September.

Pengumuman itu sekurang-kurangnya menamatkan satu episod perjalanan ke Istana Sabah kerana mengenali politik Sabah, pelbagai kemungkinan boleh berlaku, bagaikan kata seorang sahabat saya, “Sabah ni macam puncak Gunung Kinabalu, pagi kita nampak, lepas tu hilang dek kabus dan awan sampai malam”.

Serentak pengumuman itu juga, UMNO sudah tentu dilabelkan sebagai lemah, cepat mengalah, menyerah kalah dan pelbagai lagi kerana mereka ini merujuk pelbagai kenyataan serta pendirian yang dibuat oleh pemimpin UMNO malahan mereka yang pernah bersama UMNO dan kini berada di luar UMNO.

Malam tadi agak cemas juga apabila dikatakan berlaku tawar menawar dalam kalangan parti politik bagi membentuk kerajaan berikutan Bersatu dan UMNO gagal mencapai kata sepakat mengenai calon KM.

Namun akhirnya seperti dijanjikan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin semasa kempen PRN, Hajiji disahkan sebagai KM. Walaupun pelbagai bantahan disuarakan oleh UMNO, satu penyelesaian perlu dibuat supaya tidak berlaku menang sorak kampung tergadai atau yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Selepas berjaya menamakan KM ini apa pula episodnya selepas ini? Apakah reaksi terhadap pelantikan ini?

Dalam politik, adu domba tidak pernah selesai. Politik tidak kenal erti kejujuran, keikhlasan dan kepuasan. Batu api, api dalam sekam, musuh dalam selimut, musang berbulu ayam dan pelbagai lagi akan ada di mana-mana. Semuanya itu adalah bersebab, bukan tiba-tiba muncul.

Menyelak kembali kepada politik Sabah, UMNO sering kali dilukai oleh anggota partinya sendiri. Organisasi itu tidak bersalah tetapi anggota parti terutama di peringkat pemimpin yang menjadi punca kerosakan organisasi. Tidak semua tetapi kerana ‘seekor dua kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit’.

Dalam isu Sabah ini, ikut lojik, UMNO menang lebih banyak kerusi berbanding anggota GRS yang lain. Dan pada masa yang sama, jika tidak ada kesepakatan, boleh sahaja UMNO mengekalkan jumlah kerusi yang ditandingi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang kini ditandingi Bersatu.

Sebagai anggota UMNO, sudah tentu sedikit sebanyak anggota parti itu terluka dengan tindak tanduk yang ditunjukkan oleh bekas anggota atau pemimpin UMNO yang meninggalkan parti itu selepas mereka hidup ‘senang’. Tetapi disebabkan tidak sanggup ‘hidup susah’, mereka lari meninggalkan UMNO.

Benar, meninggalkan parti itu permainan politik tetapi apabila ‘menikam’, menghina dan memburukkan organisasi yang pernah memberi kejayaan kepada mereka adalah sesuatu yang boleh melukakan.

Menyelak kembali situasi selepas PRU lalu, UMNO Sabah hampir lumpuh apabila pemimpin dan anggota parti itu berhijrah secara berjemaah meninggalkan saf UMNO. Mereka keluar dari ‘tempurung UMNO’ dan mencari ‘tempurung’ yang lebih selamat. Mereka ’terjun’ dari kapal yang bocor kerana bimbang tenggelam bersama.

Ada pula pemimpin UMNO dari Semenanjung yang secara terbuka berkata UMNO sudah tidak laku di Sabah. Semua episod ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota dan pemimpin UMNO yang masih setia bersama.

Namun UMNO terus ‘merendah diri’ atau mengambil sikap kompromi untuk kepentingan bersama khsusnya menjaga kepentingan masyarakat Melayu dan bumiputera. Ketika parti bukan Melayu mendapat sokongan tidak berbelah bahagi, atau konsisten, parti Melayu ‘mengajar’ pengundi berpecah belah.

Dalam hal Sabah, biar pun ramai yang mungkin kecewa, anggaplah pendirian UMNO kali ini sebagai kompromi demi kepentingan rakyat Sabah, bukan mengalah atau mengaku kalah atau dilabel sebagai lemah.

Bersatu pula jangan terlalu memandang rendah kepada UMNO. Jagalah tutur kata sebelum membuat pelbagai label kepada organisasi UMNO yang telah ‘melahir, mendidik dan membesarkan’ mereka sehingga ke tahap yang ada. Jangan ketika UMNO lebih bersedia menyerah dan berkompromi, ada pihak yang akan terus ‘membuli’. Ingatlah UMNO masih ‘laku’ di Sabah.

Related posts

Leave a Comment