Umrah tiga jam dikawal aplikasi

PERINGKAT pertama pembukaan semula Makkah untuk ibadah umrah akan memperuntukkan masa tiga jam bagi setiap jemaah menunaikan umrah dengan bermula dan berakhir di kawasan khusus di sekitar Tanah Suci.

Kemasukan jemaah umrah ke dua masjid suci di Makkah dan Madinah itu mulai 4 Oktobet ini juga akan dikawal selia menerusi aplikasi I’tamarna yang akan tersedia di telefon pintar  berkuat kuasa 27 September.

Berdasarkan perancangan, penetapan kawasan khusus di sekitar Tanah Suci akan membenarkan 6,000 jemaah menunaikan umrah pada enam waktu berlainan setiap hari dengan setiap kumpulan 1,000 jemaah diberikan masa tiga jam.

Kerajaan Arab Saudi membuka semula ibadat itu selepas digantung akibat pandemik Covid-19, ‘kerana percaya umat Islam tidak harus berhenti menunaikannya tetapi pada masa sama, mematuhi langkah pencegahan.’

Peringkat pertama berkenaan akan membenarkan rakyat tempatan serta ekspatriat yang tinggal di Arab Saudi untuk menunaikan umrah sebelum kapasiti diperluaskan kepada jemaah dari luar negara pada peringkat seterusnya.

Penilaian akan dilakukan pihak berkuasa berkaitan sebelum kebenaran diberi untuk kapasiti ditingkatkan kepada 75 peratus pada fasa kedua serta kapasiti penuh pada fasa ketiga bagi menerima kemasukan jemaah dari luar Arab Saudi.

Aplikasi I’tamarna yang akan tersedia di telefon pintar dibangunkan oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Penguasa Data dan Kecerdasan Buatan Saudi (SDAIA) bagi mengawal masa ibadah jemaah sama ada bagi menunaikan umrah mahupun solat di kedua-dua masjid.

Aplikasi tersebut membolehkan jemaah merancang ibadah dan lawatan mereka terlebih dahulu serta membuat tempahan khidmat pilihan bagi menunaikan ibadah mereka dengan mudah dan selesa.

Di samping itu, ia memastikan pematuhan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan selain protokol pencegahan yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut Kementerian Haji, aplikasi itu akan tersedia bagi pengguna telefon pintar dengan sistem operasi iOS dan Android tujuh hari sebelum permulaan fasa pertama tersebut.

Pendaftaran data yang dimasukkan oleh jemaah dan pengunjung ke dua masjid suci berkait langsung dengan aplikasi rasmi “Tawakkalna.” yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan Covid-19.

Langkah ini akan meliputi beberapa prosedur termasuk menyediakan jaminan bahawa jemaah atau pengunjung bebas daripada virus korona itu.

Adalah amat penting bagi jemaah dan pelawat mematuhi dengan ketat langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka.

Ini termasuk memakai pelitup, mengekalkan jarak fizikal yang selamat dan mematuhi waktu serta laluan yang ditetapkan bagi mereka.

Related posts

Leave a Comment