Ikutkan UMNO, sudah lama bubar

SHAH ALAM 13 Okt. – Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob berkata, Parlimen sudah lama dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika beliau mengikut pandangan UMNO.

Ismail Sabri  menjelaskan , UMNO sudah lama bercakap soal pembubaran Parlimen, sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, cuma menanti masa yang sesuai.

“Saya pun belum merancang lagi tarikh yang tepat (ketika itu) tetapi apabila ada isu berkaitan yang saya nampak tidak boleh nak ‘go on’ lagi, jadi saya bubarkan,” katanya.

Naib Presiden UMNO itu juga mengulangi kenyataannya bahawa individu yang mendakwa kerajaan gagal dan menggesa supaya PRU15 dipercepatkan adalah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Tiba-tiba dia menyerang kerajaan, itu merupakan perkara amat tidak bertanggungjawab. Kalau dia kata saya tidak bertanggungjawab, dia yang memulakan perkara yang saya lakukan hari ini, dan ini adalah perpecahan yang saya jangkakan berlaku dalam kerajaan.

“Bagaimana saya hendak menguruskan kerajaan saya dengan baik kalau saya tidak yakin dengan kesepakatan sesama menteri Kabinet,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini, hari ini.

Mengenai warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini, beliau tidak menyalahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutuskan surat itu.

Perdana Menteri berkata, walaupun perbuatan itu disifatkan sebagai tidak wajar, menteri terbabit hanya mengikut arahan parti masing-masing.

“Seperti yang dikatakan (Menteri Dalam Negeri) Hamzah Zainudin, semalam, ia juga adalah hasil keputusan parti. Ini bermakna, dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh daripada Presiden parti, dan menteri Kabinet daripada Bersatu tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh terbabit.

“Maknanya, dia menerima arahan daripada Presiden parti. Parti arahkan tulis surat. Walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui oleh Hamzah, dan tidak salahkan mereka mengikut arahan parti, sebab itu adalah arahan parti,” katanya.

Semalam, Hamzah menjelaskan, tindakan 12 menteri Kabinet mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong adalah selaras keputusan parti diwakili mereka yang tidak mahu PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Ismail Sabri menegaskan sekiranya arahan parti terbabit berterusan, ia akan menggoncang kedudukan kerajaan dan secara tidak langsung menjejaskan kestabilan pentadbiran.

“Kalau kerajaan tidak stabil, bagaimana hendak meneruskan pemulihan ekonomi dan agenda lain. Oleh itu bagi saya, kita menyerahkan mandat kepada rakyat. Biar rakyat membuat pilihan dan kita membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil selepas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu , Ismail Sabri berkata, pembangkang sepatutnya berterima kasih kepada beliau dan berasa gembira dengan pembubaran Parlimen.

“Lagi lama kerajaan ini bertahan, lagi banyak isu kerajaan tidak sah, ‘tebuk atap’ dimainkan.

“Bermakna kalau mereka (pembangkang) menganggap kerajaan diragui dari segi keabsahan, jadi sepatutnya mereka seronok apabila saya mengumumkan pembubaran kerana rakyat diberi mandat untuk berpeluang memilih kerajaan mengikut kehendak rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment