UMNO tidak dapat halang

KETIKA Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan pendirian kekal dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, UMNO pula membuat pendirian yang berbeza.

Kata Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN dan sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-ahli Parlimen sahaja.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahid dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan dan beliau menghormati pendirian mereka.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan tiada seorang pun daripada 18 wakil rakyat daripada parti itu menyokong untuk bersama Anwar

Menurutnya, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Pas dalam masa terdekat.

Kenyataan ini susulan pengumuman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Anwar pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini menegaskan kerajaan pimpinan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini “jatuh.”

Sementara itu Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyokong Anwar dalam memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

“GPS tidak sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita akan terus kekal dengan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Alexander ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau turut menegaskan akan terus kekal dengan PN yang dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Kita tiada kaitan dengan apa yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim sebentar tadi,” jawabnya.

Ini pesan Alexander kepada Anwar: “Please grow up, you are old enough to know, don;t behave like a greenhorn politician …”

Alexander yang juga merupakan Setiausaha Agung GPS turut berkata, adalah lebih baik untuk Presiden PKR itu untuk berhenti bermain politik yang hanya akan mengelirukan rakyat serta mengakibatkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.

Related posts

Leave a Comment