Ibadah umrah dibuka semula

KEMENTERIAN Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan ibadah umrah akan dibuka semula mulai 4 Oktober ini bagi penduduk negara itu manakala bagi umat Islam di luar Arab Saudi pula mulai 1 November 2020.

Pada peringkat pertama, kira-kira 6,000 warganegara dan penduduk di dalam negara itu akan dibenarkan untuk melakukan ibadah umrah setiap hari.

Dalam satu kenyataan, Kementerian itu berkata, umat Islam dari luar Arab Saudi akan dibenarkan mengerjakan ibadah umrah bermula 1 November apabila bilangan jemaah akan ditingkatkan kepada 20,000 orang pada setiap hari.

Arab Saudi menggantung ibadah itu pada Mac lalu tetapi membenarkan ibadah haji berlangsung dengan bilangan yang terhad, 10,000 jemaah sekali gus menjejaskan hasrat berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia kerana bimbang wabak Covid-19.

Menurut kementerian itu, kapasiti yang lebih besar bergantung kepada perkembangan pandemik Covid-19.

Arab Saudi berusaha menangani kadar jangkitan Covid-19 yang kini meningkat kepada lebih 330,000 kes iaitu yang tertinggi di rantau Teluk dan dengan lebih 4,500 kematian.

Bagaimanapun negara itu melaporkan jumlah kes sembuh yang tinggi yang melepasi 312,000 pesakit semalam.

Minggu lalu, Arab Saudi melonggarkan sebahagian penggantungan penerbangan antarabangsa, enam bulan selepas larangan perjalanan dilaksanakan ekoran wabak tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi pada peringkat kedua, jemaah dan mereka yang berada di Arab Saudi dibenarkan mengerjakan umrah, ziarah dan mengunjungi Rawdah di Masjid Nabawi Madinah dan ibadah di dua masjid suci itu.

Bagi fasa kedua mulai 18 Oktober itu, kapasiti dibenarkan adalah 75 peratus atau hampir 15,000 jemaah sehari manakala 40,000 orang untuk melakukan ibadah sehari dengan mematuhi prosedur ditetapkan.

Untuk fasa ketiga, 20,000 jemaah luar negara dibenarkan melakukan umrah dan 60,000 orang untuk ibadah. Bagaimanapun kehadiran jemaah luar bergantung kepada tahap kesihatan mereka.

Ibadah umrah, ziarah dan ibadah lain di dua masjid suci itu akan dibuka sepenuhnya bergantung kepada perkembangan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment