Thailand catat kematian baharu

THAILAND merekodkan kematian ke-59 akibat Covid-19 selepas lebih 100 hari sifar kematian. Kes melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun yang kembali dari Arab Saudi awal bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan Dr Somsak Akksilp berkata, lelaki tersebut, penterjemah di Kementerian Buruh di Riyadh dijangkiti Covid-19 pada Julai lalu dan dirawat di Hospital King Fahad di Riyadh.

Menurutnya pesakit yang mempunyai gejala pneumonia itu bergantung pada bantuan pernafasan sejak 10 Ogos lalu dan keluarganya memohon dia dibawa balik ke Thailand.

Pesakit yang diuji negatif Covid-19 tiba di Bangkok pada 2 September dan terus dihantar ke sebuah hospital untuk menerima rawatan.

Keadaan pesakit bertambah buruk dan disahkan meninggal dunia tengah hari, 18 September.

Pesakit mempunyai sejarah perubatan menghidap diabetes, darah tinggi serta masalah kolestrol. Jangkitan Covid-19 memburukkan lagi keadaannya dan menyebabkan jangkitan dalam darah serta kegagalan pelbagai organ sementara x-ray menunjukkan paru-parunya rosak.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Thailand sebanyak 3,497 kes.

Sebelum itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) melaporkan tujuh kes baharu yang melibatkan mereka yang melibatkan lima warga Thai dan dua warga asing yang pulang dari Arab Saudi, Bangladesh, Qatar dan Pakistan.

Related posts

Leave a Comment