PRN Sabah penentu PRU15

KOTA BELUD: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memberi isyarat mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi ia juga bergantung kepada keputusan pengundi-pengundi Sabah

Jika keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memihak kepada kerajaan PN atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) maka lebih cepat PRU diadakan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memberi bayangan, sekiranya rakyat Sabah memberi mandat yang meyakinkan kepada GRS, maka PRU15 akan lebih cepat diadakan.

“PRN Sabah ini adalah penentu masa depan di Sabah. Di peringkat nasional kita belum putuskan bila hendak mengadakan PRU. Kalau di Sabah kita sudah menang, kita cepat-cepatlah mengadakan PRU di peringkat pusat. Isyarat mesti diberikan oleh rakyat Sabah,” katanya

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud pada Jumaat.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, rakyat Sabah perlu memastikan GRS menang dalam PRN kali ini agar kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, keputusan ada di tangan rakyat Sabah untuk membuat pilihan tampuk pemerintahan baharu bagi membawa suara-suara dari Sabah.

“Jangan lagi pilih Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana Pakatan Harapan (PH) sudah tiada, dan tidak lagi memerintah negara. Mustahil rakyat Sabah masih mahu pilih pembangkang dalam keadaan yang begitu kritikal ketika ini, dengan ekonomi merundum kerana COVID-19.

“Sebab itu situasi sukar ini kita perlu atasi dan sebab itu kita perlu kerajaan sehaluan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment