Melonjak kepada 95 kes

PUTRAJAYA: Kes jangkitan baharu Covid-19 melonjak kepada 95 kes berbanding 21 kes pada hari sebelumnya menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini  sebanyak 10,147 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 91 kes merupakan jangkitan tempatan, sementara empat lagi adalah kes import.

“Daripada 91 kes penularan di dalam negara, 68 kes adalah warganegara

Malaysia dan 23 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, 18 September.

Sebanyak 90 kes daripada jumlah kes baharu direkodkan di Sabah dengan 76 kes membabitkan Kluster Benteng Lahad Datu (LD); empat kes daripada Kluster Pulau (Kunak dan Semporna); tiga kes (Kluster Selamat); tiga kes (Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI)); dua kes saringan bergejala; satu kes kematian di Hospital Semporna; serta satu kes saringan kontak rapat kepada kes ke-10,145.

Satu lagi kes baharu melibatkan Kluster Bunga di Negeri Sembilan.

Menurut Dr Noor Hisham, seramai 14 individu telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya sebanyak 9264 kes atau 91.3 peratus.

Katanya, kes aktif dan kebolehjangkitan dicatatkan pula sebanyak 754 kes dan mereka sudah diasingkan serta dirawat di hospital.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan satu kematian dicatatkan di negara ini, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 129  atau 1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian ke-129 (kes ke-10,145) merupakan perempuan warganegara Filipina berumur 50 tahun. Beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 14 September 2020 dan telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan.

Beliau kemudiannya dirujuk ke Hospital Semporna bagi rawatan lanjut, namun tidak pergi berikutan kekangan yang beliau hadapi.

Beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Semporna, Sabah di mana disahkan meninggal dunia pada 14 September 2020. Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif Covid-19.

Setakat ini, seramai 11 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment