10 kes import dari 5 negara

THAILAND merekodkan 10 kes baharu Covid-19, kesemuanya kes import dari lima negara dan melibatkan enam warga Thailand serta empat warga asing.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes di negara itu meningkat kepada 3,490 kes.

Mereka yang terlibat tiba dari Ethiopia (1 pramugari) India (2 warga Thai), Indonesia (2 lelaki Thai), Myanmar (1 wanita Myanmar) dan Yemen (4 pelajar).

Kesemua mereka menjalani kuarantin sejurus tiba di Bangkok.

Daripada 3,490 kes, sebanyak 3,316 atau 95 peratus dilaporkan sembuh sementara  116 masih di hospital. Jumlah kematian kekal 58 sejak  2 Jun.

Sementara itu, Thailand meningkatkan pengesanan kontak di wilayah utara Tak selepas seorang kanak-kanak Myanmar didapati positif Covid-19.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu dan ibunya meninggalkan Mae Sot di Wilayah Tak ke Myawaddy, Myanmar pada 4 September .     

Kanak-kanak itu didapati positif  dalam saringan Covid-19 sementara keputusan ibunya negatif pada Ahad. 

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata pegawai-pegawai kesihatan sedang meningkatkan pengesanan kontak untuk mengenal pasti mereka yang mungkin terdedah kepada kanak-kanak terbabit.

“Pegawai kesihatan sudah mengumpul sampel daripada 2,635 warga Thai dan warga asing di Mae Sot  pada 8 dan 9 September. Setakat ini, tiada yang didapati positif dalam saringan Covid-19,” katanya dalam satu sidang akhbar. 

Beliau berkata mereka yang merupakan kontak rapat dengan kanak-kanak itu akan dikenal pasti dan menjalani saringan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment