PN didaftarkan 7 Ogos 2020

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tampil menjelaskan bahawa pendaftaran parti Perikatan Nasional (PN)  telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 7 Ogos 2020.

RoS dalam kenyataan memberitahu, parti berkenaan didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan.

“Sijil pendaftaran, logo parti dan perlembagaan parti telah ditandatangani dan dikemukakan kepada parti Perikatan Nasional sebaik sahaja pendaftaran parti diluluskan,” menurut kenyataan itu.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman  dilaporkan mendakwa hasil semakan yang dibuat melalui laman sesawang RoS, tidak menemui rekod pendaftaran parti PN.

RoS memaklumkan dakwaan bahawa maklumat kelulusan parti PN tidak terdapat dalam sistem RoS adalah tidak benar kerana sistem di laman sesawangnya bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemas kini secara automatik setiap dua bulan.

Kelulusan parti PN hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang pada awal Oktober 2020, memandangkan PN diluluskan pada Ogos 2020.

Bagaimanapun, RoS memaklumkan carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES akan jelas memaparkan PN diluluskan pada tarikh 7 Ogos 2020.

Maklumat parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh setiausaha parti berkenaan sahaja.

Related posts

Leave a Comment