PUTRAJAYA : Enam kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini yang merangkumi dua kes penularan dalam negara dan empat kes import.
Dua kes penularan dalam negara itu melibatkan warga tempatan iaitu masing-masing penambahan satu kes baharu daripada Kluster Telaga dan kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) di Hospital Lahad Datu, Sabah.
Empat kes import pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan yang masing-masing mendapat jangkitan di Pakistan, Angola, India dan Bangladesh, melibatkan dua warga tempatan dan dua rakyat asing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,391 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 150 kes.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, terdapat 21 kes pulih daripada Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,113 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sehingga kini, terdapat lima kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 atau 1.36 peratus daripada keseluruhan kes.
Mengulas lanjut mengenai Kluster Telaga, beliau berkata pertambahan satu kes baharu di Kedah itu merupakan kontak rapat kepada kes ke-9284 di Hospital Sultanah Bahiyah, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster tersebut sebanyak sembilan kes.
Beliau didapati positif Covid-19 semasa saringan yang dijalankan pada 3 September.