Filipina catat 234,570 kes

INDONESIA mencatatkan 3,128 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan kes positif keseluruhan berjumlah 190,665 kes setakat ini.

Berdasarkan data laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, hari ini, 5 September, sebanyak 86,778 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini, sebanyak 108 lagi kematian dicatatkan, menjadikan jumlah kematian kumulatif akibat Covid-19 di Indonesia kini 7,940 orang.

Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu pada 45,157 kes, dengan tambahan 877 kes baharu.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,515 orang, diikuti Jakarta (1,265), Jawa Tengah (1,076), Sulawesi Selatan (370) dan selebihnya di wilayah lain.

Di THAILAND, tujuh warganegara asing yang ditempatkan di hotel yang menjadi pusat kuarantin kerajaan, disahkan sebagai kes baharu jangkitan Covid-19 di negara itu menjadikan 3,438 kes jangkitan dengan 58 kematian.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menyatakan kes baharu itu melibatkan mereka yang berusia antara 14 hingga 43 tahun.

Mereka termasuklah tiga pelajar asing – remaja wanita warganegara Amerika berusia 17 tahun, remaja lelaki Rusia(18 tahun), remaja wanita India (14 tahun) dan seorang lelaki Bangladesh berusia 24 tahun.

CCSA menyatakan kes baharu lain melibatkan seorang warga Brazil berusia 40 tahun yang tiba dari Indonesia, seorang wanita Rusia berusia 45 tahun dan seorang lelaki India berusia 43 tahun.

Sehingga kini, 500 kes Covid-19 dikesan daripada mereka yang ditempatkan di hotel yang menjadi pusat kuarantin kerajaan.

SINGAPURA mengesahkan 34 kes Covid-19 baharu untuk tempoh 24 jam menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada 56,982. Terdapat tiga kes dalam komuniti, di mana seorang adalah warga Singapura dan dua pemegang pas kerja.

Kementerian Kesihatan Singapura (MoH) dalam data ringkas menyatakan terdapat dua kes import dan kedua-duanya dikenakan Notis Tinggal di Rumah.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 921 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,222 kes komuniti dan 53,805 melibatkan penghuni asrama pekerja.

Sejumlah 56,174 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan 51 kes yang disahkan masih di hospital. Seramai 696 pesakit yang bergejala ringan, atau secara klinikalnya sihat tetapi masih diuji positif telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti. Sehingga kini, 27 kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan.

Di FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 5 September 2020, Jabatan Kesihatan (DoH) melaporkan jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 234,570 kes termasuk 2,529 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

DoH juga mengumumkan sebanyak 1,136 pemulihan yang membawa jumlah kes sembuh meningkat kepada 161,668.

Sebanyak 53 kematian direkodkan yang membawa jumlah keseluruhan 3,790 pesakit meninggal dunia akibat Covid-19. Kes aktif pula 69,112.

Related posts

Leave a Comment