Kluster DTI Semenyih 2

SATU kluster baharu dikenalpasti di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih, Selangor. Kes indeks kluster ini merupakan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asal beliau. Justeru, beliau disaring untuk Covid-19 di Klinik Kesihatan dan dikesan positif pada 27 Ogos 2020 (iaitu kes ke-9302).

Kes kedua dan ketiga kluster (iaitu kes ke-9382 dan kes ke-9384) merupakan pegawai imigresen di DTI tersebut yang mengiringi kes indeks ke Klinik Kesihatan bagi saringan Covid-19. Mereka adalah dua daripada empat orang pegawai imigresen yang mengiringi kes indeks yang dikesan positif.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 4 September 2020, seramai 269 orang telah disaring. Daripada jumlah ini:

i. Selangor (265 disaring):
– 2 kes dikesan positif Covid-19;
– 123 individu negatif; dan
– 140 individu masih menunggu keputusan.

ii. Negeri Sembilan (4 disaring):
– 1 kes dikesan positif Covid-19; dan
– 3 individu masih menunggu keputusan.

Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan:
• 134 tahanan;
• 129 orang kakitangan DTI; dan
• 6 orang ahli keluarga kakitangan.

Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di DTI Semenyih.

KKM menyeru anggota-anggota barisan hadapan dari pelbagai agensi yang menguruskan kes positif Covid-19, kes yang disyaki positif  serta kes masih di dalam siasatan termasuk Patient Under Investigation (PUI) supaya mengambil langkah-langkah pencegahan pada setiap masa
sepanjang pengurusan kes-kes ini. Ini termasuk pemakaian Personal Protective Equipment (PPE) dengan betul serta bersesuaian, penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dan amalan kebersihan tangan yang optimum.

KKM menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada anggota barisan hadapan dari pelbagai agensi yang merupakan aset negara dalam mengharungi pandemik ini.

Wabak ini telah menyerlahkan peranan penting mereka dalam mencegah, mengawal dan menguruskan penularan jangkitan Covid-19. Tanpa komitmen, ketekunan dan dedikasi anggota barisan hadapan, hampir mustahil bagi kita untuk menangani pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment