Kemerdekaan nikmat besar

“KEMERDEKAAN adalah satu nikmat besar kepada kita semua. Sepertimana yang disebut oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pemasyhuran kemerdekaan 63 tahun yang lalu, negara kita ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya.

Inilah amanah besar yang mesti dipikul oleh saya dan saudara- saudari semua. Kita mesti kekalkan kemerdekaan negara kita. Kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita. Kita mesti pelihara keamanan negara kita. Kita mesti tegakkan keadilan dan pelihara kebebasan rakyat. Kita mesti pastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya.

Alhamdulillah, kita telah menempa kejayaan dan kemajuan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dari sebuah negara yang mundur suatu ketika dahulu, kita telah menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang.

Kita juga bersyukur negara kita kekal aman dan damai dengan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama. Dari Perlis hingga ke Sabah, tidak kira Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Bajau, Iban, Murut, Melanau, Siam, orang asal, kita bersatu hati dan berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini adalah pencapaian kita, pencapaian saudara dan saudari semua.

Namun, cabaran yang kita hadapi juga amat besar. Negara kita mesti terus dibangunkan untuk menjadi sebuah negara maju yang hasil kemajuannya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara nyata,”.

AMANAT HARI KEBANGSAAN
PERDANA MENTERI TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

30 OGOS 2020

Related posts

Leave a Comment