Kes di Filipina meningkat

SINGAPURA merekodkan 54 kes baharu Covid-19 hari ini (30 Ogos) menjadikan jumlah jangkitan 56,771 kes. Terdapat lapan kes dalam komuniti iaitu tujuh warga Singapura atau pemastautin tetap dan satu lagi adalah pemegang pas kerja.

Kementerian Kesihatan (MoH) memaklumkan terdapat tujuh kes import yang semuanya diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 889 daripada kes dilaporkan adalah kes import, 2,229 kes komuniti dan 53,599 melibatkan penghuni asrama.

Sebanyak 55,447 pesakit sembuh sepenuhnya sementara 70 masih berada di hospital. Sejumlah 1,173  pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti. Sehingga kini, seramai 27 orang meninggal dunia.

SETAKAT pukul 4 petang hari ini, 30 Ogos 2020, Jabatan Kesihatan (DoH) FILIPINA melaporkan 4,284 kes baharu Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes 217,396.

Sebanyak 102 kematian juga dilaporkan yang membawa jumlah keseluruhan kes meninggal dunia sebanyak 3,520 orang.

DoH juga mengumumkan 22,319 pesakit yang sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 157,403 sementara kes aktif 56,473.

INDONESIA mencatatkan 2, 858 kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan kes keseluruhan berjumlah 172,053 kes.

Berdasarkan data di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, sebanyak 82 lagi kematian dicatatkan, menjadikan 7,343 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini (30 Ogos), provinsi Jakarta mencatatkan kes positif baharu tertinggi iaitu 1,094 kes dengan sembilan lagi kematian.

Provinsi Jakarta kini mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 39,037 kes, diikuti Jawa Timur (33,220) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Jawa Timur mencatatkan kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,349 orang, diikuti Jakarta (1,183), Jawa Tengah (990), Sulawesi Selatan (360) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

TIADA kes baharu Covid-19 dilaporkan di THAILAND dalam tempoh 24 jam hari ini (30 Ogos 2020) sama ada kes import atau penularan tempatan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal 3,411.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), daripada jumlah itu, 3,252 atau 95.34 peratus pesakit sembuh manakala 101 pesakit masih dirawat di hospital.

Jumlah kematian pula kekal 58 sejak 2 Jun lalu.

Related posts

Leave a Comment