17 kes baharu, 1 kematian

PUTRAJAYA : Sebanyak 15 kes import dan dua kes penularan tempatan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu 9,334 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 160 kes.

Daripada 17 kes baharu dilaporkan, 15 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 11 warga Malaysia dan empat bukan warganegara. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes import adalahdari India (12 kes di Kuala Lumpur); Arab Saudi (dua kes di Kuala Lumpur) dan Jepun (satu kes di Sarawak).

Dua kes penularan tempatan pula membabitkan warga tempatan, iaitu satu kes di Selangor melalui saringan kontak rapat kes positif ke-9,286, manakala satu kes di Kedah melalui saringan kontak rapat kes positif ke-9,284.

Sebanyak 10 kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya  9,048 kes atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat hari ini tujuh kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu sebanyak 126 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kes kematian ke-126 (kes ke-9,290) merupakan lelaki warga tempatan berumur 75 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, ‘Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)’ serta penyakit jantung.

Beliau mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru (pneumonia) kemudian beliau dibenarkan discaj dari hospital pada 18 Ogos.

Pada 21 Ogos, beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos di Hospital Sultanah Bahiyah. Ujian saringan menunjukkan beliau positif Covid-19. Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos pukul 5.10 petang.

Related posts

Leave a Comment