DUN Slim : BN menang bukan dengan majoriti ‘slim’

BARISAN Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti besar, bukan majoriti ‘slim’.

Jika pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, BN menang dengan majoriti 2,183 undi tetapi majoriti kali ini 10,945 undi.

Calon BN, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi.

Pencabarnya, dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, meraih 2,115 undi dan bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.

Amir Khusyairi Mohamad Tanusi juga daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Pengumuman rasmi dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN N.58, Shamsul Ridzuan Idris pada pukul 9.03 malam.

Pada PRU lalu, calon BN Mohd Khusairi Abdul Talib menang dengan majoriti 2,183 undi selepas memperoleh 8,327 menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim yang mendapat 6,144 undi dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal yang memperoleh 4,103 undi.

Keputusan hari ini secara tidak langsung juga menunjukkan kerjasama UMNO-Pas melalui Muafakat Nasional (MN) menampakkan hasil.

Jika dijumlah undi yang diperoleh oleh calon BN (UMNO) dan Pas pada PRU lalu, jumlahnya sebanyak 12,420 undi tetapi kali ini, tanpa calon Pas, BN peroleh 13,060 undi. Jelas, penyokong atau pengundi Pas memihak kepada BN.

PRK itu menyaksikan 68.40 peratus pengundi keluar mengundi dengan 327 kertas undi ditolak.

Seorang lagi calon Bebas M. Santharasekaran hilang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon bertanding.

Daftar pemilih DUN Slim melibatkan 22,749 pemilih biasa, 267 pengundi awal serta 78 orang mengundi secara pos.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Mohd Khusairi  akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRK kedua dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lepas.

Related posts

Leave a Comment