Bawa sejadah sendiri di Perlis

MAJLIS Agama Islam Perlis ( MAIPs) turut mengekalkan penggunaan sejadah sendiri bagi setiap jemaah yang hadir solat di masjid di negeri itu, demikian titah Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini.

Tuanku Raja Muda Perlis itu bertitah langkah itu  selaras dengan titah terdahulu  berkaitan SOP kebenaran menunaikan solat di masjid [Rujuk MAIPs. 100 – 6 Jld 7 ( 82 )] bertarikh 8 Mei 2020 yang lalu.

Langkah itu yang mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dibuat setelah menilai keperluan untuk mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan sebagai ikhtiar mengelakkan kemungkinan penularan semula wabak Covid-19.

Titah baginda sejadah pula hendaklah bersaiz standard,  iaitu melitupi keseluruhan ruang solat setiap seorang jemaah, dari tempat berdiri sehingga ke tempat sujud.

“Selain itu, sejadah yang digunakan hendaklah dipastikan kebersihannya serta dilipat dan disimpan dengan baik apabila tidak digunakan. Perkara ini adalah untuk memastikan penggunaan sejadah berkenaan mencapai tujuan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan diri demi kepentingan bersama,” titah baginda.

Selain itu titah baginda, penggunaan sejadah sendiri wajar menjadi budaya di pelbagai tempat termasuklah di tempat kerja, sekolah, hatta semasa bermusafir dan dipraktikkan sebagai salah satu kelaziman baharu bagi mengekalkan kawalan kendiri yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Related posts

Leave a Comment