Anugerah Kemerdekaan

MENJELANG ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-63, khutbah Jumaat (di Selangor) hari ini memperkatakan mengenai kemerdekaan di bawah tajuk Anugerah Kemerdekaan.

Kemerdekaan adalah anugerah Allah SWT yang sangat tinggi nilainya. Melalui kemerdekaan, kita bebas daripada belenggu penjajah dan dapat memerintah negara sendiri. Namun, sebagai orang beriman, kemerdekaan bukanlah matlamat terakhir hidup kerana keutamaan kita adalah untuk hidup bahagia dan sejahtera dalam negara yang adil dan makmur, serta mendapat keampunan Allah SWT.

Justeru bagi menunjukkan tanda syukur dan menghargai nikmat kemerdekaan, selain mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda patriotik, kita hendaklah mengisi kemerdekaan dengan membangun negara dan ummah ke arah kesejahteraan. Ia bukan sahaja suatu ibadah, tetapi tanggungjawab sebagai Khalifah di bumi ini.

Khalifah adalah pengganti dalam memutuskan sesuatu perkara secara adil di antara semua makhluk. Oleh itu tugas yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada pemimpin adalah meliputi segala bidang kehidupan seperti ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial dan politik agar ummah menjadi umat yang cemerlang,

Dalam memperingati kemerdekaan, segala bentuk penjajahan yang masih menguasai pemikiran, ekonomi dan nilai kebudayaan rakyat mestilah dibuang sepenuhnya kerana ia merupakan pencabulan dan penodaan terhadap kesucian fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Semoga kita terus maju kehadapan dan dapat menjaga lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Kita juga diberi tanggungjawab sebagai Khalifah untuk memakmurkan bumi ini berdasarkan akidah dan syariah dan sebagai pemimpin kita akan disoal pada hari akhirat nanti.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan Negara kita yang ke-63 pada tahun ini yang hampir bersamaan dengan sambutan Maal Hijrah 1442 pada minggu yang lalu, kita memohon kepada Allah SWT agar memberi kekuatan kepada kita menghijrahkan diri untuk lebih dekat dengan Allah SWT.

Umat Islam hendaklah menjalin persaudaraan dan membuang sikap bersengketa sesama sendiri demi kemakmuran Negara dan kesejahteran rakyat. Pada masa yang sama terus istiqamah mengerjakan amalan-amalan soleh yang boleh membawa kita ke syurga.

Kita juga memohon kepada Allah SWT agar melindungi kita daripada
godaan nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat serta memperoleh perlindungan Allah SWT daripada seksaan api neraka.

Related posts

Leave a Comment