NAMPAKNYA Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali belum dapat merasai gaji sebagai anggota Kabinet apabila gajinya disumbangkan untuk Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).
Apa pun orang kata terutama mereka yang sentiasa mencari kesalahan orang lain, yang pasti anggota Parlimen dari Pas itu akan menikmati gajinya pada bulan September. Itu pun jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih kekal.
Begitulah ‘pengorbanan’ seorang anggota Kabinet bagi menebus kesalahan yang dilakukan, walaupun tindakan itu tidak boleh disamakan dengan menteri di negara lain yang meletak jawatan atas kesilapan mereka.
Di Malaysia belum wujud budaya lepaskan semua jawatan jika anggota Kabinet melakukan ‘kesalahan’ berkaitan keputusan atau peraturan kerajaan.
Dr. Mohd Khairuddin tidak sekadar memohon maaf kerana kekhilafannya sehingga dikompaun RM1,000 susulan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) tetapi memulangkan gajinya.
“Merujuk kepada kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam isu SOP PKPP hari ini, saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku. Sebagai Menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh PKPP,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Justeru katanya, beliau memutuskan untuk memulangkan semua gajinya sebagai Menteri bagi Mei hingga Ogos 2020 kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).
“Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, gaji pertama Kabinet baharu yang dibentuk selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh adalah pada bulan Mac.
Beliau juga berjanji akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka.